Tuesday, April 7, 2009

Kami tidak berkeyakinan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia

Kepada: Yang Berkhidmat, wakil-wakil rakyat, ahli Dewan Rakyat Malaysia, kecuali Yang Berkhidmat wakil rakyat kawasan Pekan

Kami, sekalian rakyat Malaysia, dengan ini mengingatkan anda:-

1) Dengan mengangkat sumpah bagi memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, anda telah berikrar untuk menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia dan bagi memelihara, melindung serta mempertahankan keluhuran perlembagaannya; dan

2) Amanah serta tanggungjawab yang diberikan kepada anda adalah berdasarkan kepercayaan bahawa anda mewakili serta menempatkan kepentingan serta kebajikan rakyat Malaysia di atas sebarang kepentingan lain termasuk kepentingan parti politik serta barisan kepimpinannya.

Kami mengambil maklum bahawa:-

3) Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri, seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

4) Berikutan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008, Yang di-Pertuan Agong, dalam melaksanakan tanggungjawab serta kuasa Baginda berdasarkan Perkara 43(2), telah melantik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri;

5) Dalam bulan Oktober 2008, sebuah perjanjian peralihan kuasa telah dipersetujui antara Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Najib Abdul Razak berpandukan syarat-syarat, yang mana antaranya:-

a) Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan beliau sebagai presiden UMNO dalam pilihan raya UMNO pada Mac 2009; dan

b) Sekiranya Dato Seri Najib dipilih sebagai presiden UMNO pada bulan Mac 2009, perbincangan serta rundingan berkenaan peralihan kuasa serta jawatan Perdana Menteri daripada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato Seri Najib Abdul Razak akan berlangsung;

6) Ketika tamat tempoh penamaan calon bagi pilihan raya UMNO yang bakal berlangsung pada Mac 2009, Dato Seri Najib merupakan individu tunggal yang berjaya memperoleh jumlah pencalonan yang diperlukan bagi melayakkan beliau bertanding bagi merebut jawatan presiden, secara langsung membuka jalan bagi beliau menang tanpa bertanding jawatan presiden UMNO setibanya Mac 2009, jika tiada aral melintang.

7) Sekiranya Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan beliau sebagai Perdana Menteri setelah pengesahan Dato Seri Najib sebagai menang tanpa bertanding jawatan presiden UMNO pada Mac 2009, adalah diramalkan bahawa Dato Seri Najib akan mohon menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk mempersembahkan kepada Baginda Tuanku bahawa majoriti dari anda mempunyai keyakinan serta kepercayaan terhadap beliau dan lantaran itu, memohon perkenan Tuanku untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti mana yang digariskan dalam Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan

Kami turut mengambil maklum bahawa:-

8) Wujudnya persepsi yang salah di kalangan ramai dari UMNO khususnya dan Barisan Nasional umumnya bahawa Perdana Menteri Malaysia semestinya presiden UMNO, yang jelas bertentangan dengan Perkara 43(2) perlembagaan Persekutuan; dan

9) Kesemua mantan Perdana Menteri tatkala menjawat jawatan tersebut, serta Perdana Menteri sekarang, merupakan presiden UMNO dan ketika tempoh perlantikan masing-masing, tiada perhatian serius yang diberikan bagi mempersoalkan, apatah lagi meragui sekiranya kesemua mantan Perdana Menteri atau Perdana Menteri yang kini memiliki kepercayaan serta keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat yang terdahulu dan yang kini.

Kami kini meminta anda sekalian Yang Berkhidmat ahli Dewan Rakyat, untuk turut mengambil maklum perkara berikut yang telah menimbulkan persoalanan yang serius berkenaan kesesuaian serta merencat dan seterusnya menghapuskan sebarang bibit-bibit keyakinan terhadap Dato Seri Najib bagi memimpin negara kita sebagai Perdana Menteri:-

10) Dato Seri Najib telah memberi kenyataan dan terus mempertahankan bahawa beliau tidak pernah mengenali serta tidak mempunyai sebarang urusan atau kaitan dengan Altantuya Shaaribuu, mangsa dalam perbicaraan kes bunuh yang sedang berlangsung di Shah Alam. Namun:

i) Pada 29 Jun 2007, Burmaa Oyunchimeg, seorang warganegara Mongolia yang merupakan saksi pihak pendakwa raya dalam kes bunuh tersebut telah memberi keterangan bahawa beliau pernah melihat sebuah foto di mana mangsa, Altantuya Shaaribuu, bergambar bersama-sama Razak Baginda yang dibebaskan baru-baru ini dan seorang pergawai kerajaan. Laporan akhbar memberi gambaran bahawa kedua-dua pihak, yakni pihak pendakwa raya dan beberapa dari pihak peguam bela telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencuba dan tidak membenarkan saksi tersebut meneruskan keterangan beliau berkenaan perkara tersebut. Walaubagaimanapun, apabila disoal oleh Encik Karpal Singh berkenaan identiti pegawai kerajaan itu, saksi menjawab, “ Najib Razak. Saya ingat nama Najib Razak kerana nama Razak yang sama. Saya membuat andaian bahawa mereka mungkin adik beradik”. Ekoran itu, apabila diminta memberi ulasan beliau terhadap keterangan itu, Dato Seri Najib menolak untuk berbuat demikian atas sebab tidak sesuai bagi beliau memberi komen kerana sebarang kenyataan yang beliau keluarkan boleh menimbulkan subjudis, memandangkan perbicaraan masih sedang berlangsung. Sehingga ke hari ini, Dato Seri Najib tidak pernah menyangkal keterangan ini dan tiada sebarang inisiatif yang diambil oleh pihak berkaitan bagi menyelidik maklumat tersebut.

ii) Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam a/l Perumal, seorang penyiasat persendirian, telah mendedahkan kepada umum, akuan bersumpah beliau yang dibuat pada 1 Julai 2008. Dalam akuan bersumpah tersebut, beliau memberi butiran yang secara jelas menunjukkan bahawa Dato Seri Najib mengenali Altantuya dengan sangat, sangat rapat. Analisa terperinci akuan bersumpah tersebut akan menunjukkan bahawa walaupun akuan bersumpah tersebut turut mengandungi maklumat berkaitan Razak Baginda dan mangsa, maklumat yang jauh lebih merosakkan adalah berkaitan Dato Seri Najib. Pada keesokan harinya dalam keadaan yang sangat mencurigakan, Balasubramaniam membuat pendedahan satu lagi akuan bersumpah oleh beliau di mana beberapa butiran yang terkandung dalam akuan bersumpah yang pertama, telah ditarik balik. Sejak itu, Balasubramaniam sekeluarga telah menghilangkan diri dan tidak ada sebarang berita yang diterima ahli keluarga serta rakan taulan. Satu laporan berita bertarikh 10 Julai 2008 menyatakan bahawa Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Bakri Zinin mengesahkan bahawa kenyataan telah diambil daripada Balasubramaniam oleh satu pasukan polis di sebuah ‘negara jiran’. Ketua Bahagian Siasatan Jenayah itu memilih untuk tidak menamakan negara tersebut, tetapi mengesahkan bahawa Balasubramaniam menyatakan bahawa beliau sekeluarga meninggalkan negara kerana khuatir, nyawa mereka terancam. Mohd Bakri Zinin turut mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat kedua-dua akuan bersumpah dan meminta lebih masa bagi menyelesaikan siasatan. Sehingga ke hari ini, tiada sebarang berita berkaitan hasil siasatan tersebut. Sementara itu, anak saudara Balasubramaniam, R. Kumarasen, telah membuat pendedahan yang mengejutkan bahawa walaupun beliau berhubungan dengan Balasubramaniam, beliau memutuskan untuk tidak memaklumkan lokasi ayah saudara beliau apabila disoal pihak polis kerana, “Saya tidak boleh mendedahkan segala-galanya kepada pihak polis dan dengan berbuat begini saya faham akibatnya…tetapi jika saya mendedahkan kesemuanya, saya tahu apa yang akan terjadi kepada mereka”.

11) Pada 26 Jun 2007, Uurintuya Gal-Orchir, seorang lagi warganegara Mongolia yang memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, mendakwa dalam keterangan beliau bahawa rekod imigresen kemasukannya bersama Altantuya dan kawan mereka Namiraa Gerelmaa ke Malaysia pada 8 Oktober 2008 telah dipadam. Pendakwa raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan pasukan peguam bela membuat bantahan bahawa keterangan tersebut adalah tidak relevan. Perkara tersebut, yakni kehilangan rekod imigresen Altantuya dan rakan-rakan beliau, tidak pernah disiasat bagi mengesahkan kejituan dakwaan tersebut, dan jika didapati benar, siapa yang bertanggungjawab serta kemungkinan wujudnya perkaitan antara kehilangan rekod imigresen serta perbicaraan kes pembunuhan Altantuya.

12) Perenggan ke-52 akuan bersumpah Balasubramaniam yang pertama, membutirkan sebuah sms yang didakwa dihantar oleh Dato Seri Najib kepada Razak Baginda pada hari Razak Baginda ditahan. Sms tersebut berbunyi: “Saya akan menemui IGP pada 11am hari ini…. perkara akan diselesaikan….sila bertenang”. Kesahihan sms ini adalah diandaikan antara perkara yang disiasat oleh pihak polis seperti mana yang dirujuk oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Bakri Zinin. Namun, dalam satu lagi siri sms yang didakwa antara Dato Seri Najib dan peguam kanan Muhd Shafee Abdullah, yang mana kesahihannya diakui oleh Dato Seri Najib, satu sms telah dihantar oleh Muhd Shafee Abdullah pada pagi 16 November 2006, yakni pada pagi yang sama di mana Razak Baginda didakwa di mahkamah bersabit pembunuhan Altantuya: “Tolong jangan beri sebarang kenyataan kepada pihak media pada hari ini. Akan saya terangkan kemudian. RB perlu berdepan dengan sebuah dakwaan tentative tetapi semuanya terkawal”. Siri sms ini yang didedahkan kepada umum pada 11 Oktober 2008 menimbulkan reaksi dari pihak awam yang menuntut siasatan sama ada penyalahgunaan kuasa dalam konteks campur tangan dalam pelaksanaan keadilan dan kesaksamaan telah berlaku. Pada 14 Oktober 2008, Dato Seri Najib, merujuk siri sms tersebut, telah mengeluarkan kenyataan umum menyangkal dakwaan wujudnya unsur penyalahgunaan kuasa tanpa walau sekalipun menyentuh apatah lagi membidas kesahihan siri sms tersebut. Sehingga kini, tidak ada sebarang kenyataan umum dari pihak berkuasa yang berkenaan bagi menjelaskan sama ada siasatan dijalankan berkaitan siri sms tersebut bagi memastikan sekiranya benar wujud penyalahgunaan kuasa. Sekiranya siasatan telah dijalankan, hasil siasatan tersebut tidak pernah dikemukakan.

13) Pada 31 Oktober 2008, Razak Baginda, tanpa dipanggil untuk memasukkan pembelaannnya, telah dibebaskan dari tuduhan membantu dalam pembunuhan Altantuya, iaitu, tuduhan yang dinyatakan sebagai tentative oleh Dato Seri Najib. Pada ketika itu, Ketua Pendakwa Raya DPP tun Majid Tun Hamzah menyatakan bahawa keputusan tersebut mungkin akan dirayu. “ Kami akan mempertimbangkan langkah bagi merayu keputusan tersebut,” ujar beliau. Namun, 14 hari kemudiannya, beliau mengesahkan bahawa keputusan tersebut tidak akan dirayu dan memberi sebab bahawa hakim, dalam keputusan membebaskan Razak Baginda, telah membuat penemuan fakta. Pemeriksaan dengan peguam-peguam jenayah yang senior akan menunjukkan bahawa sekian lamanya tidak pernah timbul situasi di mana Pejabat Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan terhadap kes bunuh di mana hakim membuat keputusan membebaskan tertuduh tanpa memanggil untuk memasukkan pembelaannya. Kes yang dirujuk adalah pembebasan dalam perbicaraan kes bunuh Norita Shamsudin.

Kami ingin membawa perhatian anda, Yang Berkhidmat ahli Dewan Rakyat, kepada beberapa persoalan serius yang sehingga ke hari ini masih tidak terjawab dan setiap persoalan tersebut berbangkit dari perkara-perkara yang telah dinyatakan di atas serta direkodkan. Ini termasuk:-

14) Siapakah yang dimaksudkan oleh Burmaa Oyunchimeg apabila beliau menamakan ‘Najib Razak’ sebagai pegawai kerajaan yang bergambar bersama-sama mangsa, Altantuya dan Razak Baginda? Adakah beliau merujuk kepada Dato Seri Najib? Sekiranya individu yang dimaksudkan adalah Dato Seri Najib, apakah kesimpulan yang boleh kita terbitkan dengan kenyataan Dato Seri Najib bahawa beliau tidak pernah mengenali seta tidak mempunyai sebarang urusan atau kaitan dengan mangsa, Altantuya? Tambahan pula, sekiranya individu yang dimaksudkan adalah Dato Seri Najib, bukankah ini mengukuhkan lagi akuan bersumpah pertama yang diberikan oleh penyiasat persendirian Balasubramaniam di mana beliau menyatakan bahawa Dato Seri Najib sangat kenal akan Altantuya. Dengan mengambil kira bahawa sehingga kini, keterangan ini tidak pernah disangkal oleh Dato Seri Najib, semestinya persoalan mengapa kenyataan Burmaa Oyunchimeg tersebut tidak disiasat sepenuhnya, wajib diutarakan.

15) Adakah pihak polis telah menamatkan siasatan yang telah dimulakan pada awal bulan Julai 2008 berkenaan kedua-dua akuan bersumpah yang bercanggah antara satu sama lain yang dibuat oleh penyiasat persendirian Balasubramaniam? Sekiranya penyiasatan tersebut telah diselesaikan, mengapa Balasubramaniam masih belum didakwa atas kesalahan membuat akuan bersumpah yang palsu? Akuan bersumpah yang mana satu merupakan akuan yang palsu? Adakah beliau dipaksa membuat akuan tersebut, dan jika ya, oleh siapa dan bagaimana? Di mana beliau dan keluarga beliau kini? Adakah mereka selamat?

16) Adakah benar apa yang didakwa oleh Uurintuya Gal-Orchir, warganegara Mongolia, bahawa rekod imigresen kemasukan beliau dan Altantuya serta kawan mereka Namiraa Geralmaa ke Malaysia pada 8 Oktober 2006, telah dipadam? Jika benar, siapakah yang bertanggungjawab dan mengapakah rekod tersebut dipadam? Adakah pihak yang bertanggungjawab, bertindak mengikut arahan dan sekiranya ya, menurut arahan siapa dan mengapa? Mengapa keterangan Uurintuya Gal-Orchir ini tidak disiasat sepenuhnya?

17) Memandangkan keputusan pihak Pejabat Peguam Negara untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan membebaskan Razak Baginda adalah sebuah keputusan yang mengejutkan, adakah sebarang siasatan dilakukan berkaitan siri sms antara Dato Seri Najib dan perguam kanan tersebut bagi memastikan sekiranya wujud sebarang unsur penyalahgunaan kuasa oleh Dato Seri Najib?

Kami mengambil maklum dengan rasa kesal bahawa seruan Yang Berkhidmat Lim Kit Siang, ahli parlimen kawasan Ipoh Timur pada bulan Oktober 2008, yakni bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja untuk menyiasat sepenuhnya, antara lain, kesemua perkara yang telah dinyatakan di atas, tidak diendahkan oleh barisan pentadbiran terkini.

Dan kami ingin menegaskan di sini, sehingga kesemua perkara yang dinyatakan serta setiap persoalan yang ditimbulkan disiasat secara terperinci dan hasil siasatan tersebut dengan jelas dan sepenuhnya melenyapkan sebarang keraguan atau kesangsian berkenaan keterlibatan Dato Seri Najib berkaitan setiap butiran yang telah dinyatakan, kami tidak mempunyai sebarang keyakinan serta kepercayaan terhadap Dato Seri Najib bagi memimpin negara kita sebagai Perdana Menteri.

Oleh yang sedemikian, kami, kini mengarahkan anda, Yang Berkhidmat ahli Dewan Rakyat yang telah kami lantik bagi mewakili kami:-

a) untuk menuntut supaya badan Eksekutif menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja untuk menyiasat secara terperinci, setiap butiran yang telah dinyatakan disini berserta setiap persoalan penting dan serius yang telah dikemukakan, dan mendedahkan kepada umum hasil siasatan serta kesimpulan dan cadangan, sekiranya ada, yang dikemukakan oleh suruhanjaya tersebut; dan

b) sekiranya badan Eksekutif gagal menubuhkan suruhanjaya atau sebarang badan penyiasatan berintegriti yang mampu memikul tanggungjawab menjalankan penyiasatan dan mendedahkan kepada umum sebarang penemuan berserta laporan lengkap dan cadangan, jika ada, berkaitan setiap satu perkara yang telah dinyatakan, dan impak dari kegagalan badan Eksekutif itu, setiap perkara yang diketengahkan kekal tidak disiasat dan setiap persoalan kekal tidak terjawab dan seterusnya membawa kepada Dato Seri Najib mohon menghadap Yang di-Pertuan dengan harapan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, maka, adalah menjadi kewajipan anda untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa anda, sebagai wakil yang telah kami lantik, tidak mempunyai sebarang keyakinan terhadap Dato Seri Najib untuk memimpin negara kita sebagai Perdana Menteri.

source: http://www.petitiononline.com/pmbersih/petition.html

No comments:

Post a Comment